Antara lain tanda kejayaan Islam di benua Eropah ialah dengan berkembangnya wilayah kedaulatan Khilafah Othmaniah Turki. Selama berabad-abad, kerajaan Islam tersebut berjaya memantapkan pengaruhnya di Eropah Timur, Balkan, dan Mediterranean. Namun begitu selepas berabad-abad, pengaruh itu beransur pudar. Menjelang masa-masa kejatuhannya, muncul pemimpin Khilafah Othmaniah iaitu Sultan Abdul Hamid II. Dengan segala kuasa yang ada, ia cuba untuk terus mempertahankan pemerintahan Islam di wilayah-wilayah kekuasaannya dari bahaya yang semakin mengancam, khasnya dari kekuatan Barat dan Yahudi.
Kelahiran Khalifah
Sultan Abdul Hamid II dilahirkan pada hari Rabu, 21 September 1842. Nama lengkapnya adalah Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan dan merupakan anak kedua Sultan Abdul Majid I (dari isteri keduanya).
Ibunya meninggal dunia semasa beliau berusia tujuh tahun. Abdul Hamid sejak muda, sudah boleh berbahasa Turki, Arab, dan Parsi di samping mengetahui bahasa Perancis. Dia juga gemar mempelajari beberapa buah buku kesusasteraan dan puisi.
Sewaktu orang tuanya, Sultan Abdul Majid meninggal dunia, bapa saudaranya, Abdul Aziz telah diangkat menjadi Khalifah. Abdul Aziz tidak terlalu lama memegang jawatan Khalifah. Dia dipaksa berhenti dari jawatannya dan selepas itu dibunuh oleh musuh politik Othmaniah.
Penggantinya adalah Sultan Murad, anak Sultan Abdul Aziz, namun dia pun disingkirkan dalam masa yang singkat kerana dianggap tidak layak. Pada tarikh 31 Ogos 1876, Sultan Abdul Hamid dilantik menjadi Khalifah menggantikan saudaranya, Murad V.
Umat memberikan baiat dan ketaatan kepadanya. Pada masa itu, dia telah berumur 34 tahun. Dari tahun 1877 hingga tahun terakhir memerintah pada 1909, dia tinggal di Istana Yildiz. Abdul Hamid menyedari, seperti yang diungkap dalam catatan hariannya, tentang pembunuhan bapa saudaranya dan pergantian kepimpinan yang selalu disebabkan adanya konspirasi menentang Daulah Islamiah (Negara Islam).
Para sejarawan mengkaji secara mendalam tentang perwatakan Abdul Hamid. Menurut mereka, Abdul Hamid mewarisi jawatan kepimpinan sebuah negara besar yang berada dalam keadaan tegang dan genting.
Dia juga menghabiskan masa lebih daripada tiga puluh tahun yang penuh dengan konspirasi, peperangan, revolusi, peristiwa-peristiwa dan perubahan-perubahan yang terus terjadi.
Diperalat oleh orang kepercayaannya sendiri.
Cubaan pertama yang dihadapi Abdul Hamid adalah Midhat Pasha (1822-1885). Ada dakwaan bahawa Midhat berasal dari kaum Yahudi Dunnama.
Midhat Pasha terlibat secara rahsia dalam usaha penyingkiran bapa saudaranya, Abdul Aziz. Tidak lama selepas dilantik sebagai Khalifah, Abdul Hamid melantik Midhat Pasha sebagai ketua Majlis Menteri-Menteri kerana Midhat Pasha amat terkenal pada masa itu.
Abdul Hamid memerlukan jaminan untuk pemerintahannya stabil. Midhat Pasha adalah gabenor yang cekap tetapi keras kepala. Sultan Abdul Aziz telah menjadi Khalifah dalam tahun 1861 dan disingkirkan dalam tahun 1876. Empat hari selepas disingkirkan, ia meninggal dunia. Ketika pemerintahan Abdul Aziz, banyak kemajuan telah dicapai.
Pasukan Khilafah Usmaniah membuat persiapan untuk menjadi pasukan ketiga terkuat di dunia dengan kekuatan tentera darat mencapai 700,000 orang. Sultan Abdul Aziz juga melawat Mesir, Perancis, Inggeris, dan Jerman.
Tujuan lawatan itu ialah untuk mempengaruhi Perancis supaya berpihak kepada Daulah Usmaniyah dan supaya Perancis tidak berpihak kepada Rusia. Tujuan lain adalah untuk menghimpunkan negara-negara Eropah untuk menentang Rusia.
Tidak lama kemudian, Inggeris mencadangkan diadakan pertemuan di Istanbul yang dihadiri oleh para duta kuasa-kuasa besar dengan tujuan untuk mewujudkan ‘perdamaian’ di Balkan. Perjanjian pertemuan akhirnya memaksa Khilafah Usmaniah untuk melaksanakan beberapa reformasi.
Maka, Midhat Pasha menjalankan reformasi-reformasi domestik tersebut. Termasuk di dalamnya pembentukan sebuah perlembagaan demokrasi dan undang-undang sekular.
Dikelilingi oleh negara-negara besar, undang-undang itu jelas bertentangan dengan Islam, yang jika dilaksanakan akan bermakna penghapusan sistem Khilafah dan bererti mewujudkan sebuah negara yang serupa dengan negara-negara Eropah lain.
Abdul Hamid, para ulama serta tokoh-tokoh Islam yang lain menentangnya. Khilafah menolak memenuhi desakan negara-negara besar. Inggeris berusaha gigih untuk menghancurkan Khilafah dan mereka berusaha untuk mempastikan pelaksanaan perlembagaan sekular yang didrafkan oleh Midhat Pasha. Untuk menghalang niat jahat ini, Abdul Hamid cuba mengurangkan populariti Midhat Pasha. Akhirnya dia berjaya melepaskan diri dari belenggu Midhat.
Midhat didakwa merancang pembunuhan Sultan Abdul Aziz. Seterusnya Abdul Hamid mengalihkan perhatian terhadap musuh luar negara Daulah Islam Usmaniah. Melalui kebijaksanaannya, dia mampu meramalkan bahawa revolusi komunis akan berlaku di Rusia dan akan membuat Russia lebih kuat dan lebih berbahaya.
Pada waktu itu Balkan yang merupakan sebahagian daripada wilayah kekuasaan Daulah Islam Othmaniah sedang berhadapan dengan dua bahaya iaitu Rusia dan Austria. Abdul Hamid berusaha membangkitkan penduduk Balkan dan menyedarkan mereka tentang bahaya yang bakal dihadapi. Dia hampir berjaya membuat perjanjian dengan negeri-negeri Balkan tetapi ketika perjanjian mencapai peringkat akhir, empat negeri Balkan mengambil keputusan lain dan mengenepikan Daulah Islam Usmaniah. Ini adalah disebabkan pengaruh Barat dan Russia. Abdul Hamid menyedari bahawa persekongkolan untuk memusnahkan Negara Islam Usmaniah lebih besar daripada yang disangkakan.
Persekongkolan itu melibatkan usaha dari dalam dan dari luar Negara Islam. Dari dalam, adalah Panglima Pasukan Awni Pasha yang cuba mengheret Daulah Islam Usmaniah ke dalam kancah perang Bosnia tanpa persetujuan Abdul Hamid. Abdul Hamid mengetahui jika terjadi peperangan, maka Rusia, Inggeris, Austria, Hungary, Serbia Montenegro, Itali, dan Perancis akan menyerang kerajaan Usmaniah secara serentak dan memastikan Bosnia dirampas. Kejatuhan Daulah Islam Othmaniah tinggal menunggu waktu.
0 comments:
Post a Comment