Saturday, August 18, 2018

Hujah anti Hadis & Jawapan

>Hujah Pertama:

          

Terdapat hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang menceritakan tentang urusan dan perkara-perkara ghaib seperti azab dalam kubur, peristiwa dalam syurga dan neraka, pengkhabaran syaitan dan jin dan ramalan tentang perkara-perkara masa depan yang bakal terjadi. Padahal Allah Subhanahu waTa’ala telahpun menerangkan dalam al-Qur’an bahawa urusan dan perkara ghaib tidak dapat diketahui oleh sesiapa jua. Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah ! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). [an-Naml 27:65]

Demikian juga para Nabi dan Rasul Allah, mereka semua tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Seandainya mereka berkata mereka mengetahuinya, tergolonglah mereka di kalangan orang-orang yang zalim. Hal ini diungkapkan oleh Allah Azza waJalla dalam ayat berikut melalui lisan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim. [Hud 11:31]

Oleh itu tidak syak lagilah bahawa hadis-hadis perkara ghaib ini bukanlah berasal dari ajaran Rasulullah tetapi sebenarnya adalah rekaan dan dustaan orang-orang selepas kewafatan baginda sekalipun ia memang tercatit dalam kitab-kitab hadis yang sahih.

Jawapan.

Memang benar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengetahui akan urusan dan perkara ghaib – kecuali apa yang diketahuinya dari wahyu dan pengkhabaran Allah Tabaraka waTa’ala sendiri. Memang benar bahawa hanya Allah Azza waJalla sahaja yang mengetahui urusan dan perkara ghaib akan tetapi ketahuilah bahawa Allah adakalanya membuka pintu-pintu ilmu ghaib ini kepada para Rasul-Nya. Hal ini dikhabarkan sendiri oleh Allah Subhanahu waTa’ala melalui firman-Nya:

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya;  maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). [al-Jinn 72: 26-27]

Allah Subhanahu waTa’ala dalam al-Qur’an telahpun menerangkan bahawa Dia mengajar Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam perkara-perkara yang tidak diketahuinya dan mewahyukan kepada baginda beberapa perkara dan berita ghaib. Perhatikan dua ayat berikut:

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu amatlah besar. [an-Nisaa’ 4:113]

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. [al-An’aam 6:50]

Oleh itu apa yang diterangkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang urusan dan perkara ghaib bukanlah berasal dari pengetahuan atau khayalannya sendiri dan bukan juga berasal dari rekaan serta dustaan orang-orang selepas baginda. Ia sebenarnya berasal dari pengajaran dan wahyu yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada baginda. Sumber:https://hafizfirdaus.com/

No comments:

Post a Comment